Blog Utama Ketua Pengawas

senarai pemegang kad library (^__^)v

12 March 2012

Edensor


TAJUK: EDENSOR
PENULIS: ANDREA HIRATA (INDONESIA)
PENERBIT: PTS (VERSI MALAYSIA)

"..bermimpilah, kerana tuhan akan memeluk mimpi-mimpi itu.."

Buku ini merupakan siri ketiga dari siri Lasykar Pelangi. Ia sama hebatnya dengan siri yang pertama  yang ditulis saudara Andrea Hirata. Cuma kali ini berkisar mimpi-mimpi atau angan-angan Ikal dan Arai sewaktu kecil yang menjadi kenyataan bila mereka sampai ke Eropah.

Awalannya Ikal (panggilan untuk Andrea) bercerita mengenai seorang lelaki yang terbuang bernama Weh. Lelaki tua ini mengidap burut dan tinggal di perahu. Weh yang mengajarnya membelah lautan dan membaca langit seumpama sebuah kitab tua. Sampai dia kenal arah dengan berpandu bintang-bintang di langit. Weh orang pertama mengajarnya mengenali diri sendiri. 

Terselit juga kisah kenakalannya yang memeningkan kepala orang kampung sampai berkali-kali bapanya menukar namanya kononnya supaya kenakalannya surut. Tetapi tetap tidak berubah lantas bapanya meminta dia memilih nama untuk dirinya sendiri. ‘Andrea’ berasal dari nama Andrea Galliano yang Ikal jumpa di satu pojok  majalah lama. Mulanya tidak dipersetujui sang ibu tetapi akhirnya nama itulah yang disandangnya hingga kini. Akhirnya dia sendiri sedar tingkah laku seseorang tidak berkait dengan nama yang disematkan kepadanya, bukan juga bagaimana dia ingin orang hormat kepadanya tetapi lebih kepada berapa besar dia menaruh hormat kepada dirinya sendiri.

Selepas tamat sekolah Ikal dan Arai mula berkelana mencari perkerjaan di luar Belitong tetapi semangat ingin ke Eropah berkobar-kobar. (Mereka bekerja sambil melanjutkan pengajian). Mereka tidak mahu hidup dengan memikul  rutin yang sama setiap hari tetapi mereka dambakan pertualangan, hidup yang menggetarkan, mencabar dan misteri. Akhirnya  mereka berjaya mendapat biasiswa untuk belajar di sebuah universiti di Eropah. 

Pertama kali sampai di Lapangan Terbang  Schippol mereka disambut oleh si jelita Famke Somers dan membawa mereka ke penginapan di Brugge. Akibat sedikit salah faham dengan pengurus bangunan Simon atau John Wayne wannabe mereka di halau keluar dan buat pertama kali mengalami sakitnya berada di negeri orang. Dalam cuaca bersalji yang turun hingga negatif 9, Ikal hampir-hampir tewas.

Cerita ini kemudian berkembang tentang rakan-rakan sekuliah yang berbagai ragam dan bangsa membuatkan Ikal tertarik menjadi life observer. Di sini dia kenal kelompok The Brits yang meriah, sering berteori, protes atau bermulut besar tetapi beradap. Ada lagi kelompok pelajar Amerika yang digelar Yankee, kemudian kelompok Jerman yang metodik dan sistematik, kelompok Holland yang sangat bijak dan kelompok Yahudi yang genius. Dan akhir sekali kumpulan The Pathetic four a.k.a makhluk-makhluk yang menyedihkan, selalu menanyakan soalan remeh yang menjengkelkan, sering berlagak faham tetapi sebenarnya kebingungan. (Hahaha) Itulah kumpulan Ikal bersama tiga lagi sepertinya; Manooj, Gonzales dan Ninochka yang sering kelam kabut!

Ketika tibanya cuti musim panas yang panjang Ikal dan Arai merancang mengembara secara backpacking lalu menjadi satu taruhan kepada rakan-rakannya yang berminat mengembara dengan seni jalanan. Dengan bantuan Famke mereka belajar mendapat wang dengan menjadi patung duyung di jalanan. Pengembaraan mereka semakin mencabar bila memasuki negara-negara yang tidak mempedulikan acara seperti itu sehingga ada satu saat mereka papa kedana dan bertahan dengan memakan daun. Penjelajahan mereka sarat dengan ujian-ujian mental dan fizikal yang melelahkan. Selepas Eropah mereka masuk ke Negara Rusia yang tak kunjung habisnya disebabkan keluasan apatah lagi mereka kehilangan peta dan kompas, kemudian berjaya melepasi Afrika yang dulunya nampak tak mungkin.

Hasil dari ekpedisi yang panjang berbulan-bulan itu mengajar mereka jadi kental dan mula memandangi dunia dari posisi yang lain. Sebenarnya banyak lagi yang ingin aku huraikan tetapi ini pun sudah panjang dan cukup untuk memberi gambaran tentang buku ini. Jalan bahasanya bersahaja, kadangkala lucu tetapi amat bermakna. Sesiapa yang sudah membaca dua siri sebelumnya tidak akan menyesal membaca buku yang ketiga ini.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping busuk.org