Blog Utama Ketua Pengawas

senarai pemegang kad library (^__^)v

12 March 2012

Lasykar Pelangi


Penulis: Andrea Hirata
Terbitan: PTS (versi Malaysia)

Sebelum aku terlupakan segala detail cerita Lasykar Pelangi sewajarnya aku lansung menceritakan saja novel yang menarik ini. Lasykar Pelangi bukan cerita biasa yang sering kita baca tetapi novel ini begitu menyentuh hati apatah lagi bila ia melibatkan soal kemiskinan bangsa.

Namun dicelah-celah kemiskinan yang menghimpit tiap-tiap keluarga di Pulau Belitong, penulisnya Andrea Hirata telah berjaya mengisahkan alam kanak-kanak si Ikal, Lintang, Mahar, Trapani, Sahara, Flo, Kucai dan lain-lain lagi watak dengan penuh warna-warni keriangan, suka duka, kenakalan dan kelucuan.
Aku tergelak besar bila membaca bab anak-anak sekolah Muhammadiyah yang miskin ini menjuarai Karnival 17 Ogos dengan mempersembahkan tarian ala-ala kaum Masai (gara-gara bajet sekolah yang sangat tenat) dan cara si Mahar (si genius seni yang bergitu kreatif) membalas dendam sekaligus menaikkan reputasi sekolah dengan menggunakan kalungan buah aren muda membuatkan kisah itu lucu. Di tambah lagi kepintaran Lintang menewaskan sekolah-sekolah 'kaya' dengan akal geniusnya dalam pertandingan kecerdasan sehingga mampu mengalahkan Drs. Zulfikar yang sombong.

Di sini terselit juga kisah cinta pertama Ikal yang luar biasa di kedai Sinar Harapan bersama sepupu si A kiong yang membuat jiwanya indah sekaligus gundah gulana. Kisah Mahar dan Flo yang tergila-gila kepada dunia gelap dan mistik hingga menubuhkan kumpulan Soceiteit De Limpai yang aneh. Namun kisah menarik mereka ini tetap tidak dapat lari dari cengkaman kemiskinan.

Lintang yang sedemikian hebat dan bercita-cita untuk menjadi pakar matematik apabila dewasa kelak terpaksa berhenti sekolah kerana bapanya meninggal dunia dan dia terpaksa menanggung keluarganya untuk meneruskan kehidupan. (Pembaca akan terkesan dengan betapa peritnya Lintang bila dia terpaksa meninggalkan sesuatu yang amat disukainya iaitu SEKOLAH dan ILMU kerana desakan hidup). Cinta A Ling dan Ikal yang tidak kesampaian bila gadis itu berangkat meninggalkan Belitong namun dititipkan sebuah buku yang amat bermakna untuk tatapan Ikal.

Novel ini mengesankan juga bila anak-anak Belitong ini disedarkan bahawa kemiskinan bukanlah datang dari genetik atau penyakit keturunan. Sebelum menjejakkan kaki ke Muhammadiyah mereka lansung tidak berani bermimpi untuk tidak menjadi kuli lombong PNtimah , nelayan atau pekebun seperti bapa-bapa mereka.

Andrea Hirata menulis buku ini dengan bahasanya yang mudah, kadangkala lucu tetapi amat mendalam. Ini merupakan buku pertama siri Lasykar Pelangi dan aku telah selesai membaca buku kedua dan keempatnya. Ketiga? tak jumpalah..huhuhu..!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping busuk.org