Blog Utama Ketua Pengawas

senarai pemegang kad library (^__^)v

12 March 2012

Kembara Ke Angkasa


Tajuk: Kembara Ke Angkasa
Penulis: Sheikh Muszaphar Shukor
Penerbit: MPH Publishing
Tebal: 304 m/s

"Catatan memoir angkasawan Malaysia pertama."
Masih ingat peristiwa bersejarah yang berlaku kepada bangsa Malaysia pada 10 Oktober tahun 2007?

Pada tahun tersebut angkawasan pertama negara Sheikh Muszaphar Shukor telah berlepas ke ISS dengan Soyuz TMA-II dari Kazakhstan (pukul 7.21 malam waktu tempatan, tapak pelancaran: Baikanur Cosmodrome). Beliau telah berlepas bersama-sama Jurutera penerbangan (Rusia)Yuri Malanchenko dan Komander (USA) Peggy Whitson dalam penerbangan yang mendebarkan sekaligus mengujakan.

Selepas 12 hari berada di angkasa Sheikh Muszaphar pulang dengan angkasawan Fyodor Uchikin dan Oleg Kotov. Mereka kemudian terbabas 350 km dari tapak pendaratan asal. Namun segalanya berjalan lancar selepas itu dan beliau telah membawa bersama ujikaji yang diamanahkan kepadanya sebelum ini iaitu tiga ujikaji yang melibatkan tiga komponen penting seperti ujian sel di angkasa, mikrob di angkasa dan pengkristalan protein. Kajian juga dibuat untuk Malaysia  melibatkan Sains Hayat, kajian otot untuk Agensi Angkasa Eropah dan kajian kesan radiasi untuk Jepun.

Penerokaan Manusia ke angkasa lepas telah berlaku beberapa dekad yang lalu bila Yuri Gagarin dari Rusia membuat pusingan bersejarah mengelilingi bumi dalam masa 108 minit menggunakan Vostok 1 pada bulan April 1961.

Buku ini pula menceritakan pengalaman Sheikh Muszaphar sebagai warga yang bertuah dapat belajar di Pusat Latihan Angkasa Yuri Gagarin, Star City Rusia dan berpeluang terbang ke angkasa lepas apabila Malaysia membeli 18 jet pejuang Sukhoi 30 mkm yang bernilai 3.42 billion. (Program angkasa ini menjadi timbal balik perjanjian pembelian tersebut).

Sheikh Muszaphar meletakkan segala cerita permulaan perjalanannya sebagai angkasawan sebaik sahaja mengetahui kewujudan program itu dan mengisi borang di internet. Sejak itu juga dia bertekad menyiapkan diri walaupun program tersebut kelihatan masih samar-samar dan kita tertanya-tanya benarkah ia wujud?

Beliau juga menceritakan keadaan proses pembelajarannya di Star City, eksperimen-eksperimen kesihatan yang terpaksa dijalaninya dan kehidupannya selama setahun berada di Rusia juga perasaannya menangani tekanan kerana dibahunya terdapat harapan besar rakyat Malaysia serta kemahuannya yang sentiasa ingin cemerlang di setiap peperiksaan yang diduduki di pusat tersebut.

Buku ini memberi inspirasi betapa keazaman manusia dalam keinginan untuk mencapai satu-satu perkara dalam hidup mereka akan berjaya seandainya mereka berusaha keras. Latihan yang dilalui oleh angkasawan pertama Malaysia ini bukanlah perkara main-main yang boleh kita pandang sebelah mata. Jika tidak ada jiwa, mental dan fizikal yang kuat adalah mustahil beliau dapat berada dalam senarai angkasawan yang telah terbang ke angkasa, sebab ada ramai angkasawan yang berlatih bertahun-tahun malah seumur hidup mereka masih tidak berpeluang terbang.

Buku ini amat sesuai sebagai koleksi dalam aspek motivasi. Lagipun banyak gambar-gambar menarik yang disertakan dan bahasanya pun tidak sukar dicerna. Tak rugi memilikinya (^__^)







ahhhh...letih baca citer uwan...tido lagi best...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping busuk.org